Tuesday, July 7, 2009

HUKUM-HUKUM AZAN DAN IQAMAH

Artikel copy paste from AlBakaky
Friday, 17 March 2006
HUKUM-HUKUM AZAN DAN IQAMAH
Topic: FIKAH
Susunan ; Rumaizi bin Ahmad.
?-Hakcipta terpelihara.
*Artikel ini adalah bahan Kuliah Subuh pagi Khamis di Masjid Jamik al-Solihin, Kanchong Darat.

Takrif Azan

Dalam kitab al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab karangan Imam Nawawi menyatakan, menurut bahasa, azan bermaksud pemberitahuan. Fonologi ( bunyi bacaan ) kalimat ini antaranya ialah azan, azin dan ta’zin. Azin dan ta’zin menurut al-Jauhari adalah lafaz yang gharib ( ganjil ). Terminologi ( lafaz ) azan berasal dari kata uzun ( telinga ) justeru muazzin menyampaikan pemberitahuan kepada telinga orang ramai tentang masuknya waktu sembahyang.
Kitab al-Fiqh al-Manhaji karangan tiga ulama besar mazhab Syafe’i kontemporari, Dr. Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugho dan Syeikh Ali al-Syarbaji menyatakan, Azan merupakan lafaz khusus yang disyariatkan oleh Islam untuk menyatakan masuknya waktu sembahyang fardhu dan untuk menyeru orang-orang Islam supaya berkumpul mengerjakannya.

Asal usul azan dan qamat.

Dari Abdillah bin Zaid bin Abdi Rabbihi al-Ansari r.a., katanya; Ketika Rasulallah memerintahkan orang memperbuatkan loceng untuk dibunyikan bagi memanggil orang sembahyang tiba-tiba ketika aku sedang tidur datang seorang lelaki ( dalam mimpi ) membawa sebuah loceng dengan tangannya. Aku pun berkata kepadanya , “ Hai Abdullah, juallah loceng ini.” Orang tersebut berkata, “ Untuk kegunaan apa ? “ Aku pun menjawab, Kami hendak memanggil orang sembahyang dengannya.” Kata orang tersebut, “ Mahukah engkau aku tunjukkan yang lebih baik daripada itu ? “ “ Ya, baik.” Lalu kata orang itu” Ucapkanlah Allahu Akbar....sampai habis.” Kemudian dia mengundur sedikit, lalu berkata lagi,” Kemudian apabila engkau hendak mendirikan sembahyang, ucapkan pula ; Allahu Akabr....sampai habis qamat.” Setelah pagi, aku pun pergi kepada Rasulallah SAW mengkhabarkan mimpi tersebut. Lalu baginda SAW bersabda; “ Itu mimpi yang benar, insya Allah. Pergilah kepada Bilal. Ajarkannya apa yang telah engkau terima supaya diazankannya dengan itu kerana suaranya lebih nyaring daripada engkau.” Aku pun berangkat bersama Bilal dan mengajarkannya kepada Bilal, lalu Bilal pun meneriakkan azan tersebut. Hal itu terdengar oleh Umar bin al-Khattab ketika beliau di rumahnya. Beliau pun keluar sambil menarik-narik kain rida’nya seraya berkata,” Demi Allah yang mengutus tuan dengan kebenaran ya Rasulallah, aku telah melihat seperti apa yang dilihatnya ( dalam mimpi ). Sabda Rasulallah SAW.” Maka segala puji bagi Allah.” Hadis ini diriwayatkan oleh Abu daud dengan sanad yang sahih. Demikian Tirmizi juga meriwayatkan setengahnya dengan jalan Abu daud dan mengatakan hadis ini hasan lagi sahih.
Terdapat bebrapa lagi riwayat tentang asal azan dengan pelbagai matan yang hampir serupa .

Pensyariatan azan.

Azan dan qamat disyariatkan hanya untuk sembahyang fardhu yang lima sahaja termasuk sembahyang jumaat.Demikianlah ijmak ulama dari semua mazhab dan firqah. ( Lihat Kitab Rahmatul Ummah fi ikhtilafi al-aImmah, Abi Abd Allah Muhammad bin Abd Rahman al-Dimasyqi al-Syafe’i dan juga Kitab Al-Fiqh Ala Mazahib al-Khamsah, Syeikh Muhammad Jawwad al-Mughniyyah.) Imam Syafe’i dalam kitabnya al-Umm menyatakan, tidak ada azan selain bagi sembahyang fardhu. Begitu juga tidak ada iqamah selain bagi sembahyang fardhu.
Berdasarkan ini, azan dan qamat tidak boleh disyariatkan bagi yang lain daripada solat fardhu yang lima termasuk sembahyang jumaat tanpa khilaf. Kitab Fiqh al-Manhaji memasukkan juga sembahyang qadha lima waktu. Oleh itu, sembahyang nazar, sembahyang jenazah, sembahyang nawafil, sembahyang sunat yang berjamaah seperti dua hari raya, sembahyang minta hujan, sembahyang gerhana, dan sembahyang tarawikh walaupun secara berjamaah; sembahyang duha, sembahyang witir, sembahyang hajat dan lain-lainnya yang sunat; juga sembahyang jenazah, semuanya itu tidak harus ( tidak boleh ) baginya azan dan qamat.
Dalam al-Umm lagi, kata Imam Syafe’i, Adapun sembahyang dua hari raya, sembahyang-sembahyang gerhana dan sembahyang qiyam ramadhan ( tarawikh ) aku memandang sunat dibacakan ;” Assolatu Jami’ah”. Kalau itu tidak dibacakan maka tiada suatu apa pun atas orang yang meninggalkannya ( yakni tidak mengapa ), selain ia meninggalkan yang lebih utama (al-afdhal). Solat jenazah dan setiap solat sunat selain dua hari raya dan gerhana, maka tidak ada azan dan ( tidak ada ) bacaan “ Assolatu Jami’ah”. Demikian qaul dari Imam Syafe’i.
Hanya Imam Ghazali sahaja yang menyatakan mustahab diserukan “ Assolatu Jamia’ah” bagi sembahyang jenazah bersalahan dengan pandangan Syeikh Abu Hamid, al-Bundunaiji, al-Mahamili, al-Baghawi dan lain-lain pembesar mazhab Syafe’i yang berpegang pada qaul Syafe’i di atas.

Hukum Azan dan qamat.

Dalam kitab Rahmatul Ummah, Abu Hanifah, Malik dan al-Syafe’i menyatakan hukum azan dan iqamah itu adalah sunat. Dalam kitab Al-Fiqh ala Mazahib al-Khamsah menambah Mazhab Syiah Imamiah juga menghukumkannya sunat muakkad dan menambah pandangan Malikiah yang mewajibkan secara kifayah di negeri (tempat ) yang berdiri padanya solat Jumaat yang seandainya meninggalkan penduduk tempat tersebut azan, boleh diperangi. Kitab Rahmatul Ummah seterusnya menjelaskan, Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan; Azan dan iaqamah itu fardu kifayah kepada penduduk kota, manakala Imam Daud al-Zahiri menyatakan azan dan iqamah itu fardhu, yakni berdosa jika tidak dilakukan pada sembahyang fardhu, namun sembahyang tetap sah jika ditinggalkannya. kata Imam al-Auza’i, Jika lupa azan dan sembahyang tanpa azan, maka hendaklah diulangi sembahyangnya itu dengan azan seandainya teringat sebelum habis waktunya. Kata Atha’ ; Jika seseorang lupa qamat, maka diulangilah sembahyangnya dengan qamat.
Kitab Fiqh al-Manhaji pula menyatakan, ia sunat muakkad alal kifayah bagi suatu kumpulan, dan sunat aini bagi individu justeru ia adalah suatu perkara yang sangat penting bagi menzahirkan syiar islam. walau bagaimanapun, orang yang meninggalkannya tidak berdosa dan tidak pula mengulangi sembahyangnya.
( bersambung )

No comments: